UJIAN saringan Covid-19 akan dijalankan di bandar pelabuhan Qindao dalam tempoh lima hari.
UJIAN saringan Covid-19 akan dijalankan di bandar pelabuhan Qindao dalam tempoh lima hari.
AFP

Beijing: China menyasar melaksanakan ujian saringan Covid-19 ke atas sembilan juta penduduk di bandar pelabuhan Qindao dalam tempoh lima hari.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Tempatan Qingdao, keputusan itu dibuat susulan enam kes positif virus itu dikesan di bandar berkenaan.

Ujian saringan akan dijalankan di lima daerah dalam tempoh tiga hari dan keseluruhan bandar dalam tempoh lima hari namun pihak berkuasa tidak memberikan jumlah sebenar individu yang akan disaring kelak.

China memiliki kemudahan melakukan ujian pantas dan suruhanjaya itu memaklumkan lebih 140,000 kakitangan institusi perubatan dan pesakit baharu sudah menjalani ujian saringan di Qingdao sejak kes positif dikesan.

Pada Jun lalu, sebahagian besar kawasan di Beijing melalui ujian saringan selepas kes Covid-19 berkaitan pasar makanan dikesan di bandar yang memiliki 20 juta penduduk itu.

China negara pertama di mana virus itu dikesan, berjaya mengawal penularan wabak terbabit berbanding kebanyakan negara lain yang terpaksa melaksanakan perintah berkurung selepas peningkatan kes secara mendadak.

Republik itu juga berlumba-lumba menghasilkan vaksin Covid-19 dengan beberapa syarikat dari negara itu berada pada peringkat akhir penghasilan vaksin terbabit.

Sejak dikesan di Wuhan, China akhir Disember lalu, virus berkenaan setakat ini sudah menjangkiti 37.8 juta mangsa termasuk mengakibatkan 1.08 juta kematian di 214 negara di serata dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 6:59 AM