PENDUDUK di Lake Worth, Florida melakukan persiapan menghadapi Taufan Isaias. FOTO AFP.
PENDUDUK di Lake Worth, Florida melakukan persiapan menghadapi Taufan Isaias. FOTO AFP.
AFP

Miami: Taufan Isaias membadai Bahamas pada Jumaat ketika bergerak menuju Florida, sekali gus bahaya baharu kepada Amerika Syarikat (AS) ketika negara itu menderita dengan rekod kematian tinggi akibat wabak Covid-19.

Badai kategori satu dengan angin 120 kilometer sejam (kmj) itu, semakin kuat pada malam Khamis selepas memusnahkan Republik Dominika.

Menurut Pusat Taufan Nasional berpusat di Miami, taufan yang mengakibatkan angin kencang menghala ke arah barat laut dengan kelajuan 24.14 kmj (15 mph), sudah menjejaskan tenggara Bahamas dan kepulauan Turks dan Caicos.

"Ribut berterusan akan berlaku di barat laut dan tengah Bahamas pada malam ini (Jumaat) dan Sabtu," katanya.

Ia dijangka melepasi tenggara Bahamas sekitar petang Jumaat dan memasuki kawasan tengah negara itu pada malam.

Amaran taufan dikeluarkan di kawasan rendah Bahamas selain perairan Florida termasuk, Palm Beach yang menempatkan resort milik Presiden AS Donald Trump, Mar-a-lago.

Florida akan mula merasai kesan ribut itu pada Sabtu, menurut Pusat Taufan Nasionalnya.

Gabenor Florida Ron DeSantis menandatangani perisytiharan darurat untuk daerah di pantai Atlantik yang terdedah, tetapi pergerakan lintasan ribut yang sedikit ke arah barat memberi harapan bahawa Florida mungkin terhindar daripada serangan langsung.

Beliau berkata, terlalu awal untuk membuka penempatan sementara tetapi meminta penduduk supaya menambah bekalan harian termasuk air, makanan dan ubat-ubatan sehingga akhir minggu.

Florida ketika ini pusat pandemik dan bimbang sekiranya Isaias melanda akan menyebabkan huru hara memandangkan, hospitalnya dipenuhi pesakit Covid-19.

Pada Jumaat, Florida mencatat 275 kematian akibat wabak itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian 6,843.

Terdahulu pada Khamis, Taufan Isaias melanda Puerto Rico yang menyebabkan pokok tumbang dan talian elektriknya rosak selain kemusnahan harta benda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 10:06 AM