ARAB Saudi membenarkan sekitar 1,000 jemaah dari pelbagai negara yang sudah berada di negara berkenaan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini. FOTO AFP
ARAB Saudi membenarkan sekitar 1,000 jemaah dari pelbagai negara yang sudah berada di negara berkenaan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Arab Saudi membenarkan sekitar 1,000 jemaah dari pelbagai negara yang sudah berada di negara berkenaan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Keputusan untuk mengecualikan jemaah dari luar Arab Saudi mencetuskan kekecewaan di kalangan pengajut agama Islam di seluruh dunia walaupun sebahagian besar menerima keputusan berkenaan dan menganggapnya perlu berikutan risiko kesihatan yang perlu diambil kira.

Jumlah berkenaan adalah jauh lebih rendah berbanding musim haji tahun lalu yang mencatatkan ketibaan 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia.

Namun, sehingga kini proses pemilihan jemaah untuk musim haji tahun ini yang dijadualkan berlangsung hujung Julai nanti masih belum diumumkan.

"Jumlah jemaah adalah sekitar 1,000, mungkin kurang atau mungkin lebih sedikit.

"Namun, ia tidak akan mencecah puluhan atau ratusan ribu tahun ini," kata Menteri Haji, Mohammad Benten.

Jemaah yang dibenarkan mengerjakan haji tahun ini perlu dihadkan di kalangan mereka berusia kurang 65 tahun dan tiada penyakit kronik.

Mereka juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di Makkah selain perlu menjalani kuarantin di rumah selepas selesai mengerjakan ibadah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 9:33 PM