GRADUAN CIS menerima skrol mereka secara pandu lalu.
GRADUAN CIS menerima skrol mereka secara pandu lalu.
Agensi

BANGALORE: Lengkap dengan persalinan jubah dan topi konvokesyen, sekumpulan pelajar Canadian International School (CIS) di sini menaiki kenderaan masing-masing untuk meraikan tamat pengajian.

Namun, disebabkan pandemik Covid-19, hari bersejarah itu tidak diraikan seperti tradisi sebelumnya, tetapi pengurusan sekolah mengambil pendekatan lebih unik dengan mengadakan majlis pandu lalu.

Majlis itu dimuat naik di Facebook (FB), pertama kali diadakan pada Jumaat, demi memastikan pelajar sesi 2020 mempunyai kenangan konvokesyen.

Hindustan Times melaporkan, majlis itu berlangsung meriah dengan pelajar masuk bersama ibu bapa ke kawasan padang kampus CIS menaiki kenderaan masing-masing.

"Hari ini CIS buat julung kalinya menganjurkan majlis konvokesyen pandu lalu. Graduan dan ibu bapa memandu masuk ke padang bola dan setiap kali kenderaan lalu, guru akan meraikan mereka dan menyerahkan sijil.


"Majlis graduasi tahun ini bertemakan 'Kita cari jalan atau membuatnya' benar-benar bersinar!" kata kenyataan sekolah itu di Facebook (FB).

Hantaran itu disertakan gambar gambar menunjukkan kemeriahan majlis dan kegembiraan pelajar yang tamat pengajian. Majlis terkawal dengan masing-masing mengekalkan langkah pencegahan Covid-19.

Selain ucapan tahniah kepada pelajar, ramai yang menzahirkan kekaguman kepada pengurusan sekolah atas penganjuran majlis sebegitu.

"Majlis diatur baik dan indah. Kami terharu kerana CIS menganjurkan majlis istimewa untuk kelas sesi 2020," kata seorang pengguna FB.

Seorang lagi warganet pula memberi komen, "ia majlis graduasi yang sangat unik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 6:01 AM