PIHAK berkuasa Indonesia mengarahkan trak yang membawa kenderaan yang di dalamnya ada penumpang berpatah balik.
PIHAK berkuasa Indonesia mengarahkan trak yang membawa kenderaan yang di dalamnya ada penumpang berpatah balik.
Agensi

Jakarta: Segelintir rakyat Indonesia masih berdegil dan ingkar larangan pihak berkuasa negara itu yang tidak membenarkan mereka balik kampung atau mudik.

Malah, pelbagai cara dilakukan bagi mengaburi mata pihak berkuasa seperti yang berlaku di Kota Semarang, Sabtu lalu.

Memetik portal Kompas, sebuah trak tunda yang mengangkut kenderaan diarahkan berpatah balik ke Kota Semarang, Jawa tengah.

Rahsia itu terbongkar selepas pemeriksaan mendapati empat lelaki berada dalam kenderaan yang ditunda trak berkenaan.

Bagi mengelak dilihat, bahagian luar kenderaan ditunda ditutup dengan kain.

Ketua Perhubungan Kota Semarang, Endro P Martanto berkata, kejadian jam 10 pagi itu berlaku di sekatan jalan raya di Taman Unyil bersempadan wilayah Semarang.

"Disebabkan lalu lintas sesak, kami tidak sempat bertanya arah tujuan mereka.

"Sebaliknya kami terus arah mereka patah balik ke Kota Semarang," katanya.

Susulan itu, Endro mengingatkan orang ramai mematuhi arahan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Patuh arahan pemerintah. Tangguh dahulu balik kampung," katanya.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menguatkuasakan larangan mudik iaitu tradisi pulang ke kampung bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain itu, cuti umum perayaan Aidilfitri dipinda kepada Disember.

Setakat 4 petang semalam, negara itu merekodkan 10,843 kes Covid-19 dengan 831 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:30 AM