ORANG ramai memberi sampel untuk ujian GeNose C19 bagi mengesan individu positif Covid-19 di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali. FOTO EPA
ORANG ramai memberi sampel untuk ujian GeNose C19 bagi mengesan individu positif Covid-19 di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali. FOTO EPA
Agensi

Denpasar: Rakyat Bali yang degil untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri akan diminta berpatah semula ke tempat asal mereka.

Sebelum ini, Kerajaan Indonesia mengumumkan larangan 'mudik' atau balik kampung bagi menyambut Aidilfitri tahun ini dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.

Detiknews melaporkan, susulan itu, pemerintah Bali juga mengarahkan supaya pintu masuk ke wilayah itu diperketatkan termasuk 'menghalau' individu yang degil.

Jawatankuasa Menangani Covid-19 Wilayah Bali akan mengawasi lapangan terbang, pelabuhan sehingga terminal menjelang Aidilfitri.

Bagi warga yang sudah tiba di kampung halaman di Bali, mereka akan disuruh pulang ke tempat tinggalnya semula.

"Kami akan memperketatkan kawalan pintu masuk sempadan.

"Kita akan mengawasi di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Pelabuhan Gilimanuk dan sebagainya, termasuk yang paling utamanya di bahagian ketibaan lapangan terbang." kata Sekretariat Menangani Covid-19 wilayah Bali, Made Rentin.

Rentin turut menegaskan pemerintah pusat sudah mengeluarkan larangan 'mudik' secara rasmi demi mengekang penularan virus itu.

Larangan itu juga terpakai untuk seluruh masyarakat khususnya kakitangan kerajaan yang sepatutnya menjadi contoh kepada yang lain.

Katanya, mereka yang diizinkan pulang ke kampung halaman di Bali hanya membabitkan keperluan mendesak dan harus memenuhi syarat tertentu.

"Mereka diwajibkan membawa surat keterangan daripada pihak berkaitan seperti daerah dan kampung atau pasukan khas Covid-19.

"Selain itu, mereka harus mempunyai surat keterangan daripada hospital tempat keluarga yang sakit dirawat atau meninggal dunia.

"Jika kita mendapati individu berkenaan hanya membawa dokumen surat negatif antigen, swab dan GeNose saja, tanpa ada surat keterangan melakukan perjalanan dengan alasan penting dan kecemasan, dia akan disuruh kembali," tegas Rentin.

Pada tahun lalu, Indonesia turut menguatkuasakan larangan mudik semasa sambutan Aidilfitri.

Setakat ini, Indonesia merekodkan lebih 1.5 juta Covid-19 dengan 42,227 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 3:08 PM