GATES
GATES
Agensi

New York: Hartawan dan dermawan terkemuka, Bill Gates kini menjadi sasaran pengikut teori konspirasi apabila mengaitkannya dengan penyebaran pandemik Covid-19.

Ini kerana pada 2015, Gates pernah memberi ucapan yang antara lain menyebut mengenai ancaman terbesar bukan dalam bentuk peperangan nuklear sebaliknya serangan virus yang boleh membunuh jutaan manusia.

NY Times melaporkan, klip video ucapan berkenaan kini menerima tontonan tinggi sejak beberapa minggu lalu dengan 25 juta tontonan di YouTube.

Malah, video penipuan membabitkan Gates yang dimuat naik pada Mac dan April di YouTube ditonton sehingga lima juta kali.

Di media sosial, Gates dituduh sebagai pencipta virus Covid-19 selain mendapat keuntungan hasil jualan vaksin dan turut dituduh sebagai dalang menghasilkan penyakit bagi mengawal populasi dunia.

Namun, ucapan dibuat lima tahun lalu itu disalah erti khususnya daripada pihak antivaksin dan ahli kumpulan teori konspirasi QAnon yang menjadikan video berkenaan sebagai bukti menuduh Gates menggunakan kekayaannya bagi mengawal sistem kesihatan global.

Ia dikuatkan lagi dengan kritikannya terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dikatakan lambat bertindak mengawal pandemik Covid-19 yang menular di AS.

Selama beberapa minggu, Gates tampil dalam sesi temu bual mengenai polisi duduk di rumah selain pembangunan dan ujian vaksin Covid-19.

Beliau juga turut mengkritik tindakan Trump yang mahu menyekat dana terhadap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tuduhan awal yang mengaitkan Gates dengan Covid-19 bermula pada Januari lalu apabila seorang personaliti YouTube membuat hantaran di Twitter mengatakan Gates ada kaitan dengan virus yang mengakibatkan Covid-19.

Ini kerana ada paten berkaitan koronavirus dari Pirbright Institute, kumpulan dari Britain yang mendapat dana dari Gates Foundation.

Namun, paten itu sebenarnya berkaitan potensi vaksin untuk koronavirus yang menjejaskan ternakan. Tetapi, dua hari kemudian satu laman teori konspirasi menyatakan paten itu adalah untuk Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 7:53 AM