JOKOWI. FOTO Bloomberg
JOKOWI. FOTO Bloomberg
BERNAMA

JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) turut menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan koronavirus baharu (Covid-19), bersama seluruh jemaah menterinya, susulan seorang menteri Indonesia disahkan positif wabak itu.

Semalam, Menteri Perhubungan (Pengangkutan) Indonesia, Budi Karya Sumadi disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Tentera Darat (RSPAD) Gatot Soebroto di Jakarta.

Jokowi menjalani pemeriksaan itu petang ini.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, 21 lagi kes baharu virus itu dikesan hari ini berbanding 96 kes semalam, menjadikan jumlah keseluruhan Covid-19 di Indonesia meningkat kepada 117 kes.

“Kes pesakit yang meninggal (setakat semalam) masih lima, lapan kes kembali sembuh,” katanya di Istana Presiden, Jakarta, hari ini.

Jokowi dalam satu sidang media, turut meminta rakyat negara itu tidak panik dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Saya meminta seluruh penduduk Indonesia tidak panik dan tetap produktif. Saatnya bekerja dari rumah, belajar dari rumah dan beribadat dari rumah,” katanya.

Jokowi meminta agensi dan pihak berkaitan mengadakan segera polisi bagi membolehkan pelajar sekolah dan universiti belajar dari rumah, manakala penjawat awam tertentu dapat melaksanakan tugas mereka di rumah, selain menghentikan atau menangguhkan aktiviti atau program kemasyarakatan berskala besar.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam satu kenyataan semalam menyatakan, peraturan ganjil genap (peraturan plat nombor kenderaan ganjil dan genap bagi menggunakan laluan tertentu di kota Jakarta) dikecualikan untuk tempoh dua minggu, bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam.

Sebagai tindakan pencegahan penyebaran virus Covid-19, Anies turut mengumumkan sekolah dan pusat pelancongan di Jakarta ditutup selama dua minggu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 7:17 PM