MEGHAN dan Harry. FOTO Agensi
MEGHAN dan Harry. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Lebih 20,000 individu yang juga pembayar cukai menandatangani petisyen sebagai bantahan untuk membiayai kos keselamatan pasangan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle yang berjumlah £20 juta ( kira RM92.69 juta)

Daily Mail melaporkan, tindakan itu susulan pengumuman pasangan itu yang melepaskan tugas rasmi sebagai keluarga diraja dan mahu meluangkan lebih banyak masa di Amerika Utara.

Berikutan pengumuman itu, Kerajaan Kanada enggan menyediakan kawalan keselamatan terhadap pasangan itu dan anak mereka.

Kesannya, pembayar cukai di United Kingdom (UK) kemungkinan membiayai kos keselamatan mereka, namun majoriti penonton sebuah rancangan di Britain membantah cadangan itu.

Menerusi petisyen berkenaan, rata-ratanya mendakwa pasangan diraja berkenaan tidak seharusnya menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

“Mereka sudah membuat keputusan meninggalkan keluarga diraja untuk tinggal di luar negara dan mencari pendapatan sendiri.

“Jadi, menjadi tanggungjawab mereka untuk membiayai kos keselamatan, bukannya meletakkan beban itu kepada pembayar cukai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 3:46 PM