ANGGOTA penguat kuasa memeriksa bagasi yang ditemui di Sungai Ping, Kamphaeng Phet. FOTO ViralPress
ANGGOTA penguat kuasa memeriksa bagasi yang ditemui di Sungai Ping, Kamphaeng Phet. FOTO ViralPress
Agensi

BANGKOK: Seorang lelaki warga China dijumpai dalam keadaan menyedihkan apabila orang awam menemuinya diikat dan disumbat dalam bagasi yang dicampak ke dalam sungai di Sungai Ping, Kamphaeng Phet.

Mayat Wang Jun dijumpai dalam bagasi berkenaan Selasa lalu dan polis mencari isterinya Zhu Bing yang dilaporkan masih hilang.

Daily Mail melaporkan pihak berkuasa juga mengesyaki Zhu Bing turut disumbat dalam bagasi dan dicampak ke dalam sungai.

Pasangan berkenaan dikatakan menyewa tiga vila bersama 13 lagi warga China dan mereka berkunjung ke Pattaya sebagai pelancong.

Semua mereka pulang semula ke China.

Nelayan, Suthon Thapthan yang menjumpai bagasi berkenaan pada awalnya menyangka ia dipenuhi bangkai ikan.

“Bagasi berkenaan sukar dibuka. Tetapi, selepas ia berjaya dibuka saya terkejut apabila melihat keadaan mayat itu,” katanya.

Leftenan Kolonel Jittipol Polponprueksa berkata, seorang pemandu mendakwa melihat kejadian berkenaan dan penduduk setempat juga memaklumkan turut mendengar bunyi objek berat dicampak ke dalam sungai.

“Bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat lemas dan ini bermakna dia masih hidup ketika dimasukkan ke dalam bagasi,” katanya.

Polis berkata, hasil soal siasat yang dilakukan ke atas pemandu itu mendapati, dia menerima tempahan untuk membawa empat pelancong China ke daerah Tak namun ketika berada di Kamphaeng Phet, dia diminta berhenti dan mereka mula mengeluarkan bagasi serta mencampaknya ke sungai.

“Mereka membawa lima bagasi dan saya melihat dua daripadanya nampak lebih berat,” katanya.

Rekod Imigresen mendapati mangsa mencatatkan perjalanan kerap ke Thailand dan sering menyambung perjalanan ke Tak yang dikatakan terletak berhampiran sempadan Myanmar.

Ia berkemungkinan mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah yang dikawal sindiket dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:20 AM