GAMBAR majlis perkahwinan Chino Vaflor dan Kat Bautista menarik perhatian warganet. FOTO Agensi
GAMBAR majlis perkahwinan Chino Vaflor dan Kat Bautista menarik perhatian warganet. FOTO Agensi
Agensi

Manila: Sepasang pengantin, di sini, tetap melangsungkan perkahwinan mereka walaupun lokasi majlis terletak hanya 10 kilometer (km) dari Gunung Berapi Taal yang meletus, Ahad lalu.

Daily Mail melaporkan, majlis perkahwinan Chino Vaflor dan pasangannya, Kat Bautista berlangsung di Salvana, Alfonso, di sini.

Kisah pasangan itu mendapat perhatian warganet selepas tetamu yang hadir memuat naik gambar perkahwinan mereka di laman sosial.

Gambar dimuat naik jelas menunjukkan pasangan itu berdiri dengan latar belakang kepulan asap daripada letusan gunung berapi.

Terdapat juga gambar lain yang menunjukkan kilat di langit ketika majlis berlangsung.

Jurugambar, Randolf Evan memberitahu agensi berita BBC bahawa tiada amaran awal diberikan berhubung kejadian itu.

“Kami menyedari kepulan asap kelihatan di udara dan mengesyaki sesuatu akan berlaku di gunung berapi itu ketika membuat persiapan majlis kira-kira 2 petang.

“Bagaimanapun, tetamu terdiri dalam kalangan rakan dan keluarga tidak panik dengan apa yang berlaku.

“Kami dapat menghidu debu daripada asap gunung berapi itu tetapi kesemuanya dalam keadaan selamat kerana majlis berlangsung di kawasan tinggi,” katanya.

Letusan Gunung Berapi Taal menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan ke tempat selamat manakala penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 1:38 PM