TRUMP tidak berhasrat untuk berperang dnegan Iran. FOTO REUTERS
TRUMP tidak berhasrat untuk berperang dnegan Iran. FOTO REUTERS
AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tidak berhasrat untuk berperang dengan Iran, selepas Tehran dikatakan ‘bertenang’, susulan serangan peluru berpandu Iran ke pangkalan menempatkan tentera AS di Iraq.

Dalam ucapannya dari White House yang disiarkan menerusi televisyen pada Rabu, beliau menegaskan tiada askar AS yang maut akibat kejadian itu.

Bagaimanapun, Trump berjanji untuk mengenakan sekatan ekonomi yang lebih ketat terhadap Tehran.

Reaksi beliau meredakan ketegangan antara kedua negara selepas serangan dron AS yang mengorbankan komander kanan Iran, Qasem Soleimani di lapangan terbang antarabangsa di Baghdad pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa meskipun Soleimani dianggap wira di Iran, AS berpandangan bahawa individu itu adalah ‘pengganas utama dunia’ dan patut ‘dihapuskan’ sejak dulu lagi.

Dalam pada itu, biarpun sebahagian ucapannya menjurus ke arah keamanan, beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan Iran untuk memperoleh senjata nuklear.

Sebaliknya, Trump menggesa sekutu Eropahnya untuk bersama-sama AS yang sudah keluar daripada perjanjian antarabangsa berhubung senjata nuklear dengan Iran.

Sebelum ini, Iran melancarkan serangan kepada dua pangkalan menyasarkan tentera AS dan tentera bersekutu di Iraq.

Ia sebagai tindak balas kepada pembunuhan Soleimani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 9:36 AM