TURKI mengkritik negara Barat yang enggan ambil pulang warganya yang menyertai Daesh di Syria dan Iraq. FOTO: AFP
TURKI mengkritik negara Barat yang enggan ambil pulang warganya yang menyertai Daesh di Syria dan Iraq. FOTO: AFP
AFP

ISTANBUL: Turki hari ini memulakan penghantaran balik militan asing ke negara asal selepas Amerika Syarikat (AS) dan lebih 20 negara Eropah dalam proses melakukan pengusiran.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ismail Catakli, ‘pengganas asing’ dari AS dihantar pulang awal pagi tadi manakala warga Jerman dan Denmark akan dibawa keluar dari Turki selewatnya petang ini, katanya kepada agensi berita Anadolu.

Tujuh warga Jerman dijadualkan akan dihantar pulang pada Khamis ini manakala 11 rakyat Perancis, dua Ireland dan dua lagi dari Jerman sedang diproses.

Turki mengkritik beberapa negara Barat kerana enggan mengambil pulang warganya yang menyertai Daesh (IS) di Syria dan Iraq malah melucutkan kewarganegaraan sebahagiannya.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, Turki mempunyai hampir 1,200 anggota Daesh dalam tahanan dan menahan 287 orang dalam operasi terbaru di Syria utara.

Tidak pasti sama ada mereka yang dihantar pulang minggu ini ditangkap di Syria atau di wilayah Turki.

“Tidak perlu cuba melarikan diri kerana kami akan menghantar mereka kembali kepada anda. Berurusan dengan mereka bagaimana yang anda mahukan,” kata Soylu kelmarin.

Turki sering menghantar pulang militan yang sudah ditangkap dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi menjadi satu tekanan ke atas Eropah untuk bertanggungjawab ke atas masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:58 PM