LADEN berjaya dikesan dekat Hutan Simpan Kantaka menggunakan dron.
LADEN berjaya dikesan dekat Hutan Simpan Kantaka menggunakan dron.
Agensi

GUWAHATI, INDIA: Seekor gajah jantan yang diberi nama Laden oleh penduduk tempatan di negeri Assam, sempena bekas ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden, mengamuk dan memijak lima penduduk sebuah kampung hingga mati, hujung minggu lalu.

Jabatan perhutanan dan perlindungan hidupan liar melancarkan operasi bagi mengesan gajah itu dan kelmarin, berjaya mengesannya dekat Hutan Simpan Kantaka.

Laden kini dipantau dari jauh menggunakan dron dan gajah denak.

Beberapa gambar yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Assam menunjukkan haiwan liar itu kini dalam keadaan tenang.

Menurut laporan AFP, seorang penduduk dikenali sebagai Rajen Rabha berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku di kampungnya di daerah Goalpara.

“Laden pernah menyerang kampung kami dan memusnahkan kawasan tanaman padi malah turut menyebabkan beberapa penduduk maut,” katanya.

Ia bukan kali pertama gajah yang diberi nama sempena Osama Bin Laden mengamuk menyebabkan kematian kerana sebelum ini seekor gajah digelar Osama membunuh sekurang-kurangnya 70 orang di Assam.

Bangkai gajah itu ditemui dekat sebuah kampung bulan lalu, dipercayai mati akibat dikenakan kejutan elektrik oleh penduduk.

Menteri Perhutanan Assam, Parimal Shuklabaidya berkata, jawatankuasa yang dianggotai lapan orang termasuk pakar hidupan liar berbincang mencari penyelesaian ‘Laden’ dengan mengambil kira kebajikan gajah itu serta keselamatan penduduk.

“Kami masih belum membuat keputusan cara menangani haiwan itu. Terdapat cadangan menembaknya dengan ubat penenang dan memindahkannya ke lokasi tidak dihuni manusia,” kata Shuklabaidya.

Berikutan habitat semula jadi gajah semakin mengecil, kira-kira 2,300 orang dipijak di India dalam tempoh lima tahun dan sejak 2011, kira-kira 700 gajah dibunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 7:29 AM