KHO (tiga dari kiri) selepas sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).
KHO (tiga dari kiri) selepas sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Kuala Lumpur: Pameran Matta 2023 pada Mac ini menjadi acara terbesar sejak ia ditubuhkan dan dijangka menjana jualan RM400 juta dengan sasaran 250,000 pengunjung, kata Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Pengerusi Penganjur Rocky Kho berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengunjung terbesar pada pameran tahun ini, lebih daripada rekod sebelumnya iaitu 113,685 pengunjung pada 2019, sebelum pandemik Covid-19.

"Pameran itu meliputi keseluruhan kemudahan, yang merangkumi ketiga-tiga tingkat pameran dan memenuhi lebih daripada 37,000 meter (398,264 kaki persegi) ruang yang membolehkan peserta pameran mempamerkan produk mereka. Pameran Matta ini mencatat rekod baharu daripada segi saiznya," katanya pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini.

Kho berkata, pada masa ini, 1,313 gerai ditempah, dan pihaknya menjangkakan lebih banyak lagi mendaftar.

Katanya, Arab Saudi yang menjadi destinasi pelancongan baharu, menjadi antara sorotan pameran tahun ini.

"Arab Saudi antara peserta terbabit dalam pameran ini. Ia kini antara destinasi pilihan kami untuk dikunjungi.

"Ia destinasi bukan sahaja untuk umat Islam dan destinasi umrah dan haji, tetapi ia kini menjadi destinasi untuk semua orang, termasuk bukan Islam," katanya.

Kho berkata, Malaysia dipilih Arab Saudi sebagai satu daripada beberapa negara istimewa yang ditawarkan visa pelancong berbilang kemasukan sah selama setahun.

"Rakyat Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang mengambil kesempatan (visa ditawarkan)," katanya.

Antara peserta Pameran Matta 2023 ialah agensi pelancongan, pejabat pelancongan negara, pejabat pelancongan kerajaan negeri, hotel dan pusat peranginan, taman tema, syarikat penerbangan dan pengendali pelayaran serta perkhidmatan dan organisasi berkaitan perjalanan lain.

"Kami juga ada bahagian umrah. Pengusaha umrah yang dilesenkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menjual pakej umrah dan haji mereka di sini, sebagai tambahan kepada pelancongan dan perkhidmatan lain disediakan," katanya.

Edisi ke-52 pameran pelancongan pengguna terbesar di Malaysia itu diadakan di Mitec pada 17-19 Mac (Jumaat hingga Ahad), dari 10 pagi hingga 9 malam, dengan kemasukan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 7:01 AM