MODI menunjukkan penghormatan kepada Gandhi di Parlimen di New Delhi, semalam. FOTO EPA
MODI menunjukkan penghormatan kepada Gandhi di Parlimen di New Delhi, semalam. FOTO EPA
AFP

New Delhi: India diisytiharkan ‘bebas daripada perbuatan membuang air besar di tempat terbuka’ oleh Perdana Menteri Narendra Modi walaupun masih ramai mempertikaikan kebenaran dakwaannya bahawa semua 1.3 bilion penduduk negara itu mempunyai akses kepada tandas.

Modi menjanjikan ‘tandas untuk semua’ ketika kali pertama dilantik ke jawatan itu pada 2014 dan kini mendakwa projek itu berjaya dalam pada India menyambut ulang tahun kelahiran ke-150 wira kemerdekaan, Mahatma Gandhi yang juga pejuang kebersihan.

Sejak dilantik, kerajaan Modi berkata, ia membina hampir 100 juta tandas yang dipuji negara luar antara lain termasuk menerima anugerah daripada Yayasan Bill and Melinda Gates, minggu lalu.

Pada Mac lalu, kerajaan mendakwa kurang daripada 50 juta orang membuang air di luar bangunan, iaitu pengurangan daripada 550 juta yang direkodkan pada 2014.

Lebih 550,000 perkampungan juga diisytiharkan bebas daripada amalan membuang air di tempat terbuka.

Bagaimanapun, pakar mempertikaikan dakwaan ini dengan memetik data dari kawasan pedalaman dan bandar.

Sangita Vyas dari Institut Kajian Research Institute for Compassionate Economics (RICE) berkata: “Banyak tandas dibina dari 2014 hingga 2018 dan pemilikan tandas meningkat daripada 35 peratus kepada kira-kira 70 peratus.

“Peningkatan itu memang mengurangkan amalan membuang air besar di tempat terbuka, namun pada Disember 2018 kami menganggarkan kira-kira separuh penduduk di Bihar, Madhya Pradesh, Uttar Pradesh dan Rajasthan masih berbuat demikian.”

Kebanyakan tandas dibina tanpa sambungan air, namun jika ada sekalipun orang ramai tetap terhalang menggunakannya disebabkan faktor budaya, kata pakar.

Modi, 69, membuat pengumuman itu di negeri asalnya, Gujarat, di depan 20,000 ketua kampung, selain melawat Ashram Sabarmati yang pernah menjadi tempat tinggal Gandhi di mana 10,000 botol najis manusia yang dirawat sepatutnya diserahkan kepada tetamu, lapor akhbar harian Indian Express.

Bahan itu dikeringkan sebelum diayak dan dimasukkan dalam botol kaca dengan benih yang seterusnya akan bercambah sebaik disiram.

Kekurangan tandas termasuk di dalam rumah kadangkala turut mencetuskan jenayah dalam kalangan penduduk. Pada Khamis minggu lalu dua kanak-kanak dibelasah sampai mati di Madhya Pradesh hanya kerana membuang air besar di tempat terbuka, semalam.

Golongan wanita dan kanak-kanak perempuan juga berdepan bahaya dirogol atau cabul ketika keluar membuang air pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:56 AM