PESAWAT Xiamen Air ditangguh penerbangan gara-gara insiden berkenaan. FOTO Weibo
PESAWAT Xiamen Air ditangguh penerbangan gara-gara insiden berkenaan. FOTO Weibo
Agensi

BEIJING: Penerbangan sebuah pesawat terpaksa ditangguhkan sejam selepas seorang wanita cuba membuka pintu keselamatan untuk mendapatkan udara segar sejurus sebelum ia berlepas, semalam.

Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku ketika penerbangan Xiamen Air dijadualkan berlepas pada jam 3.45 petang Isnin dari Wuhan ke Lanzhou.

South China Morning Post yang memetik Btime Video melaporkan anak kapal memberi penerangan kepada wanita dipercayai berusia 50-an itu mengenai peraturan duduk di sebelah pintu kecemasan, termasuk mengingatkannya supaya tidak menyentuh butang untuk membukanya.

PINTU keselamatan yang dibuka penumpang terbabit. FOTO Weibo
PINTU keselamatan yang dibuka penumpang terbabit. FOTO Weibo

Bagaimanapun, wanita itu berkata dia mahukan udara segar dan menyentuh butang berkenaan sebaik pramugari berpaling untuk membantu penumpang lain.

Wanita itu terus ditahan dan dibawa dari situ, menyebabkan penerbangan ditangguhkan sejam.

Tindakan membuka pintu kecemasan boleh dianggap mengganggu ketenteraman awam dan pesalah boleh ditahan polis seterusnya didenda.

Pada Julai tahun lalu, seorang wanita yang menaiki penerbangan buat kali pertama seumur hidupnya tersilap apabila cuba membuka pintu keselamatan yang disangkanya tandas sejurus sebelum pesawatnya berlepas di Nanjing.

Akibatnya, dia ditahan 10 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 10:33 PM