SEBUAH bangunan yang musnah selepas terkena peluru berpandu di bandar Sergiyvka, dekat Odessa. FOTO AFP
SEBUAH bangunan yang musnah selepas terkena peluru berpandu di bandar Sergiyvka, dekat Odessa. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Sekurang-kurangnya 21 terbunuh dan puluhan cedera dalam serangan peluru berpandu ke atas sebuah bangunan pangsapuri dan pusat rekreasi di wilayah Odessa di selatan Ukraine, kata jurucakap pentadbiran tentera Odessa, Sergiy Bratchuk.

Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak terbunuh, kata pegawai Ukraine dan menyalahkan serangan itu dilakukan sebagai tindak balas Rusia sehari selepas Moscow meninggalkan kedudukan di pulau strategik itu.

Peluru berpandu itu mengenai dua bangunan di bandar Sergiyvka, kira-kira 80 kilometer di selatan pelabuhan Laut Hitam Odessa yang menjadi titik strategik dalam perang yang kini sudah memasuki lebih empat bulan.

"Angka kematian dalam letupan Odessa meningkat kepada 21," Sergiy Bratchuk memberitahu televisyen Ukraine.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun antara yang maut, tambahnya.

Kementerian Perkhidmatan Kecemasan Ukraine berkata, 16 orang terbunuh di blok rumah pangsa dan lima yang lain termasuk seorang kanak-kanak di pusat rekreasi itu.

Seramai 39 mangsa dibawa ke hospital dan termasuk enam kanak-kanak yang cedera.

Serangan itu dilancarkan oleh pesawat yang terbang dari Laut Hitam, kata Bratchuk.

"Situasi terburuk berlaku dan dua pesawat strategik datang ke wilayah Odessa," katanya dalam temu bual televisyen, sambil menambah pihak berkenaan menembak peluru berpandu yang 'sangat berat dan kuat'.

Rusia tidak membuat sebarang komen segera mengenai serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 10:45 AM