TENTERA India berkawal sekitar Srinagar.
TENTERA India berkawal sekitar Srinagar.
Reuters

SRINAGAR: Pihak berkuasa sekali lagi menyekat pergerakan di beberapa kawasan utama di bandar terbesar Kashmir, Srinagar, susulan pertempuran antara penduduk dan polis, malam tadi, yang mengakibatkan puluhan orang cedera, kata dua pegawai kanan dan saksi.

Pihak berkuasa turut menarik balik keputusan membenarkan penggunaan Internet dan telefon bimbit di beberapa kawasan di wilayah Jammu itu, kata seorang pegawai, susulan kebimbangan penyebaran khabar angin dalam talian.

Sejak 24 jam lalu, beberapa protes dijalankan berhubung keputusan New Delhi pada 5 Ogos lalu menarik balik taraf autonomi Jammu dan Kashmir.

Kerajaan negeri berkata, ia tidak mengenakan perintah berkurung sepanjang dua minggu lalu, tetapi semalam orang ramai dilihat dilarang melalui beberapa sekatan jalan di sekitar bandar itu. Pasukan keselamatan dilaporkan memberitahu penduduk ada perintah berkurang berkuat kuasa.

Dua pegawai kerajaan kanan memberitahu Reuters, sekurang-kurangnya 24 orang dimasukkan ke hospital dengan kecederaan akibat penabur selepas pertempuran yang tercetus di kota lama pada lewat Sabtu.

Seorang daripada mereka mendakwa orang ramai membaling batu terhadap anggota keselamatan di kira-kira dua dozen lokasi di sekitar Srinagar. Menurutnya, perbuatan membaling batu semakin meningkat sejak beberapa hari lalu.

Seorang warga emas berusia 65 tahun dimasukkan ke hospital pada petang Sabtu selepas terkena kesan gas pemedih mata dan bom cili. Dia meninggal dunia pada malam sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:36 PM