GUZMAN ketika ditangkap semula tahun lalu.
GUZMAN ketika ditangkap semula tahun lalu.

Mexico City: Raja dadah Mexico Joaquin ‘El Chapo’ Guzman melarikan diri dari penjara kawalan maksimum di luar bandar raya ini, menurut kenyataan kerajaan, semalam.

Ia kali kedua Guzman melarikan diri dari penjara dalam masa 14 tahun.

Kali terakhir raja dadah itu dirakam kamera keselamatan ialah di tempat mandi di penjara Altiplano, 90 kilometer ke barat Mexico City malam Sabtu lalu, kata Suruhanjaya Keselamatan Kebangsaan.

Amaran dikeluarkan selepas dia tidak dilihat untuk seketika sebelum dia disahkan melarikan diri beberapa minit kemudian.

“Operasi untuk menjejakinya dilancarkan di sekitar penjara dan jalan raya di negeri bersebelahan. Semua penerbangan di lapangan terbang berhampiran juga dibatalkan.

Pihak berkuasa menemui terowong sejauh 1.5 kilometer yang digunakan oleh Guzman untuk melarikan diri.

Pesuruhjaya Keselamatan Kebangsaan Monte Allejandro Rubido berkata pada sidang akhbar, terowong itu bermula dari bilik kurungan Guzman dan berakhir di sebuah bangunan di luar tembok penjara.

Dia berkata, 17 orang dipindahkan ke Mexico City untuk disoalsiasat mengenai peristiwa itu.

Guzman melarikan diri dari penjara kali pertama pada 2001 apabila dia memperdaya pengawal dengan bersembunyi dalam tong kain kotor.

Dia ditangkap semula pada Februari 2014 dalam serbuan awal pagi di sebuah kondo di Mazatlan, kawasan peranginan pantai Pasifik di negeri Sinaloa.

Guzman dianggap penyeludup dadah paling dikehendaki di dunia kerana pembabitannya menyeludup dadah ke seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 6:49 AM