EL Chapo ketika ditahan.
EL Chapo ketika ditahan.
AFP

New York: Raja dadah Mexico, Joaquin "Chapo" Guzman mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan mengedar ratusan tan dadah.

Dia yang dikenali sebagai 'El Chapo' kini dipenjarakan di penjara yang mempunyai kawalan maksimum terletak di padang pasir kawasan pergunungan di Colorado.

Peguam Mariel Colon Miro yang mewakili Guzman memberitahu AFP bahawa keputusan penjara seumur hidup itu sepatutnya terbatal kerana salah seorang juri ada memberitahu bahawa mereka dan yang lain mendapat maklumat kes melalui media dan media sosial ketika perbicaraan.

Menurutnya perkara itu adalah dilarang dan perintah mengurung Guzman sejak dia diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2017 menghalangnya untuk bekerjasama dengan pembelaan sebelum dan selepas perbicaraan.

"Kami optimis sesuatu yang positif akan berlaku selepas ini," katanya yang berharap perbicaraan baharu akan diadakan.

Hakim Daerah Amerika Syarikat Brian Cogan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan ditambahkan 30 tahun yang diwajibkan mengikut undang-undang.

Guzman, 62, didapati bersalah oleh juri pada Februari lalu atas semua tuduhan berkenaan yang dilakukan ketika mengetuai Kartel Sinaloa, organisasi pengedaran dadah terbesar dan paling ganas Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 4:45 PM