EL Chapo mengelap air mata ketika diserahkan kepada pihak berkuasa AS, tahun lalu. Foto Daily Mail
EL Chapo mengelap air mata ketika diserahkan kepada pihak berkuasa AS, tahun lalu. Foto Daily Mail
Agensi

WASHINGTON: Raja dadah Mexico, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman bakal menghabiskan hayatnya dalam penjara kawalan ketat selepas didapati bersalah atas 10 tuduhan mengedar dadah di Mahkamah Daerah Brooklyn, semalam.

AFP melaporkan bekas ketua kartel dadah Sinaloa berusia 61 tahun itu akan dihukum pada 25 Jun depan dan dijangka dipenjarakan di penjara ‘supermax’ ADX Florence di Colorado yang dianggap antara paling terkawal di Amerika Syarikat (AS).

Dia didapati bersalah menjalankan operasi penyeludupan dadah terbesar dunia selama beberapa dekad yang turut merangkumi pembunuhan saingannya, pengubahan wang dan kesalahan berkaitan senjata, lapor Daily Mail.

LUKISAN artis dari prosiding mahkamah menunjukkan El Chapo menunjukkan isyarat ‘bagus’ kepada isterinya, Emma Coronel Aispuro. Foto Daily Mail
LUKISAN artis dari prosiding mahkamah menunjukkan El Chapo menunjukkan isyarat ‘bagus’ kepada isterinya, Emma Coronel Aispuro. Foto Daily Mail

El Chapo juga terkenal kerana meloloskan diri dua kali dari penjara kawalan maksimum di Mexico. Kali pertama dia melarikan diri pada 2001 dengan bantuan wardar, dia berjaya menghilangkan diri selama 14 tahun sebelum ditahan semula.

Dia sekali lagi melepaskan diri pada 2015 melalui terowong digalinya, namun hanya lolos enam bulan sebelum ditahan semula.

Perbicaraannya selama tiga bulan disifatkan seperti telenovela dengan saksi dipanggil pendakwa termasuk orang suruhan serta bekas perempuan simpanannya dan antara lain menceritakan pembunuhan ketua serta anggota kartel lain atas arahan El Chapo termasuk ada yang ditanam hidup-hidup.

Sementara itu, susulan sabitannya, Jabatan Keadilan mendedahkan gambar menunjukkan El Chapo menitiskan air mata dan terkejut ketika diserahkan kepada pihak berkuasa AS pada Januari 2017 selepas diekstradisi pihak berkuasa Mexico.

PENJARA ADX Florence di Colorado antara yang paling terkawal di AS. Foto Daily Mail
PENJARA ADX Florence di Colorado antara yang paling terkawal di AS. Foto Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:08 AM