RONNAKORN diiring polis di mahkamah. FOTO Daily Mail
RONNAKORN diiring polis di mahkamah. FOTO Daily Mail
Agensi

BANGKOK: Seorang pemungut sampah dihukum mati oleh mahkamah di Thailand selepas mengaku salah merogol dan membunuh pelancong warga Jerman yang bercuti di pantai Koh Sichang.

Ronnakorn Romruen ditahan pada April lalu beberapa jam selepas mayat Miriam Beelte, 27, yang berlumuran darah ditemui tersembunyi di bawah daun kering dan batu di pulau terbabit, lapor AFP.

Mahkamah diberitahu, lelaki berusia 24 tahun itu berada di bawah pengaruh methamphetamine ketika merogol mangsa.

Mangsa sempat melarikan diri tetapi ditangkap semula sebelum kepala dan mukanya dihentak batu beberapa kali.

MIRIAM
MIRIAM

Menurut mahkamah, kecederaan parah yang dialami menyebabkan mangsa mati dan defendan mengaku salah atas semua tuduhan termasuk merogol, membunuh, menyembunyikan mayat dan mengambil dadah, lapor AFP.

Sementara itu, Daily Mail memetik ibu tertuduh pernah meminta anaknya dikenakan hukuman mati.

“Saya memohon maaf daripada keluarga mangsa bagi pihaknya. Saya tidak pernah terfikir dia tergamak melakukan sesuatu seperti ini.

“Memang dia wajar menerima hukuman dan saya pasrah dengan keputusan hakim,” katanya.

Tahun lalu, Thailand melaksanakan hukuman mati pertama sejak 2009 dengan memberi suntikan maut terhadap seorang pembunuh berusia 24 tahun. Kumpulan hak asasi manusia mengutuk keputusan itu apabila hukuman terbabit diteruskan selepas hampir satu dekad tidak dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 9:30 AM