Zatul Iffah Zolkiply


BANDUAN yang sedang menjalani hukuman penjara 30 tahun kerana kesalahan rogol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu hari ini, atas pertuduhan merogol dan meliwat remaja bawah umur, dua tahun lalu.

Tertuduh, Engku Muhammad Ajwad Engku Adnan, 22, dari Sungai Tong, Setiu, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol dan Seksyen 377B KK kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dibacakan di depan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Merbau, Setiu, jam 3 pagi pada 15 Mac 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan meliwat mangsa sama di lokasi sama, jam 6 pagi pada 15 Mac 2015.

Tertuduh, Engku Muhammad Ajwad Engku Adnan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu atas pertuduhan merogol dan meliwat remaja bawah umur, dua tahun lalu. FOTO Syafiq Ambak.
Tertuduh, Engku Muhammad Ajwad Engku Adnan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu atas pertuduhan merogol dan meliwat remaja bawah umur, dua tahun lalu. FOTO Syafiq Ambak.

Bagi kesalahan itu, tertuduh turut berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 3 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Basysyar.

Pada 8 November lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan di Mahkamah Sesyen sama selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan satu, dua tahun lalu.

Tertuduh mengaku salah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun dua bulan dalam sebuah kereta yang di parkir dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Setiu, antara pertengahan Jun 2015 hingga awal Ogos 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 3:08 PM