GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

SELEPAS seorang isteri muda ingin bercerai kerana dilarang bermain permainan dalam talian PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) oleh suami di Ajman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu lagi kes sama dilaporkan berlaku di India.

Indian Express melaporkan kelmarin, ibu muda berusia 19 tahun itu dikatakan menghubungi talian bantuan dan menyuarakan hasratnya untuk bercerai dengan suami bagi membolehkannya hidup bersama teman permainan PUBG.

Menurut jurucakap talian Abhayam-181, wanita itu adalah pemain tegar yang menghabiskan terlalu banyak masa dengan temannya bermain permainan itu.

Mereka kemudiannya bertindak segera dengan menghantar pasukan kaunseling ke rumah wanita terbabit untuk berbincang dengan keluarganya mengenai masalah itu.

Pasukan itu mendapati ketagihan wanita terbabit terhadap PUBG menimbulkan masalah antara dia dan keluarganya.

Ketua Projek Abhayam, Narendrasinh berkata, walaupun mereka menerima kira-kira 550 panggilan sehari namun ia adalah kali pertama pihaknya menerima kes seperti itu.

Menurutnya, lazimnya panggilan dibuat oleh ibu bapa yang bimbang dengan aktiviti keterlaluan anak mereka tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

Manakala seorang kaunselor, Sonal Sagathiya berkata, dia menasihatkan wanita itu supaya mempertimbangkan keputusannya dan ditawarkan untuk ditempatkan di pusat pemulihan di Ahmedabad.

“Bagaimanapun, dia enggan kerana pusat itu tidak membenarkan penggunaan telefon bimbit.

“Dia memerlukan masa untuk membuat pertimbangan dan akan menghubungi kami semula untuk bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 8:46 AM