Muhammad Saufi Hassan


PENERBIT permainan popular, EA hari ini mengumumkan akan melancarkan permainan fenomena keluarannya iaitu Apex Legends bagi versi mudah alih untuk sistem operasi Android dan Apple, iOS.

Pengumuman itu dibuat berdasarkan kepada kejayaan judul berkenaan bagi platform desktop sehingga mencatatkan ratusan juta pemain.

Menerusi satu kenyataan media, EA menyatakan bahawa berdasarkan kejayaan Apex Legends dalam platform desktop, pihaknya sedang merancang untuk membawa ke peranti mudah alih.

Bagaimanapun, EA tidak mengulas lanjut berhubung rancangan mereka untuk membawa judul berkenaan ke platform mudah alih.

EA juga tidak menyatakan tempoh masa berhubung pembinaan permainan mudah alih berkenaan dan hanya menyatakan rancangan awal mereka.

Langkah itu juga bertitik tolak kepada kejayaan dua permainan mudah alih yang popular iaitu Fortnite dan PUBG.

Terbaru, Call of Duty: Mobile dilancarkan awal Oktober lalu dan maklum balas ketiga-tiga judul berkenaan begitu baik.

Pembangun permainan Apex Legends, Respawn Entertainment melihat bahawa judul berkenaan mempunyai potensi yang besar untuk platform mudah alih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 12:31 PM