ORANG ramai memberi memberikan penghormatan kepada mangsa  insiden tembakan Masjid Al Noor, Christchurch. -Foto AFP
ORANG ramai memberi memberikan penghormatan kepada mangsa insiden tembakan Masjid Al Noor, Christchurch. -Foto AFP

DALAM masa kurang 24 jam dilancarkan, kempen mengumpul dana untuk membantu mangsa insiden tembakan Masjid Al Noor, Christchurch, United For Christchurch mengumpul lebih RM3.2 juta hasil sumbangan masyarakat seluruh dunia.

Apa yang menariknya, kempen yang diadakan menerusi laman web, www.launchgood.com/christchurch itu adalah hasil keprihatinan anak muda Malaysia, Muhammad Habibullah Md Ali, 26, yang juga presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di New Zealand, Handshake People.

Muhammad Habibullah berkata, dia dan seorang lagi rakan terpanggil untuk mengadakan kempen itu bagi membantu mangsa dan keluarga yang terbabit dalam kejadian serangan berkenaan.

Katanya, sumbangan yang diterima bukan saja dari penduduk New Zealand malah masyarakat seluruh dunia yang turut bersimpati dengan kejadian tragik itu.

“Serangan itu jelas memberi kesan besar bukan saja kepada keluarga mangsa, malah semua pihak yang terbabit.

“Justeru bantuan berupa wang tunai sememangnya diperlukan khususnya bagi membantu meringankan penderitaan keluarga yang terbabit dalam serangan tidak berperikemanusiaan itu.

“Alhamdulillah, saya sendiri turut dihubungi pertubuhan kemanusiaan antarabangsa dari Qatar yang turut menyatakan kesediaan untuk membantu kempen,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Habibullah, Handshake yang berpusat di Auckland itu juga mengumpulkan lebih 100 sukarelawan yang terdiri daripada masyarakat tempatan yang bersedia digerakkan ke Christchurch sekiranya diperlukan.

Katanya, pasukan itu kini dalam keadaan siap sedia sementara menunggu maklum balas dari Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ).

“Kejadian serangan itu nyata benar-benar menyatukan semua bangsa dan agama di New Zealand, mereka semua bersimpati serta tampil memberi sokongan kepada umat Islam di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:01 AM