JOKOWI (kiri) dan pasangannya Ma’ruf Amin bercakap ketika debat televisyen di seluruh negara di Jakarta pada 17 Januari lalu. - AFP
JOKOWI (kiri) dan pasangannya Ma’ruf Amin bercakap ketika debat televisyen di seluruh negara di Jakarta pada 17 Januari lalu. - AFP
Reuters

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo bertikam lidah dengan saingannya, Prabowo Subianto, mengenai pelbagai isu, termasuk rasuah dan penguatkuasaan undang-undang ketika debat pertama malam kelmarin, tiga bulan menjelang pilihan raya presiden negara itu.

Pertandingan merebut jawatan presiden negara paling ramai umat Islam itu mengulangi saingan 2014 apabila Jokowi, 57, menang tipis mengalahkan jeneral bersara itu untuk menjadi presiden pertama bukan daripada keluarga ahli politik atau pegawai kanan tentera.

Ketika ini, tinjauan pendapat masih menyebelahi Jokowi berbanding Prabowo. Namun, dengan satu perempat pengundi di atas pagar, Prabowo mampu merapatkan jurang itu.

Calon presiden dan naib presiden (Jokowi dengan Ma’ruf Amin manakala Prabowo dengan Sandiaga Uno) disoal mengenai hak asasi manusia, rasuah dan keganasan di negara berpenduduk keempat paling ramai dunia itu.

Menurut Jokowi, pasukannya menawarkan ‘keyakinan masa depan’ manakala Prabowo, 67, menekankan kemiskinan dan jurang pendapatan 250 juta penduduk Indonesia.

Berbaju putih, Jokowi mempertahankan rekod pentadbirannya ketika lawan berulang kali mempersoalkan sistem perundangan dan gejala rasuah.

Calon naib presidennya, Ma’ruf Amin, ulama berusia 75 tahun, banyak mendiamkan diri sepanjang debat dua jam itu.

PRABOWO (kiri) dan Sandiaga Uno  ketika dalam perdebatan. - Reuters
PRABOWO (kiri) dan Sandiaga Uno ketika dalam perdebatan. - Reuters

Prabowo dan calon naib presidennya, ahli perniagaan Sandiaga Uno berkata, mereka akan mengambil tindakan drastik terhadap pesalah rasuah, termasuk cadangan diasingkan di pulau terpencil serta kerja keras.

Pada 2017, Indonesia berada di tangga ke-90 daripada 176 negara Indeks Persepsi Rasuah, setara dengan Liberia dan Colombia.

Prabowo yang menyerang cara Jokowi menguruskan ekonomi Indonesia sebagai ekonomi terbesar Asia Tenggara, termasuk pertumbuhan sifar dan jurang pendapatan, menjanjikan lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan.

Aktivis hak asasi manusia, Andreas Harsono berkata, kedua-dua pihak tidak memberi jawapan meyakinkan menangani salah laku serta pendakwaan terhadap minoriti, seperti LGBT atau kumpulan pelampau Islam, termasuk Ahmadiyah.

Prabowo, bekas pemerintah pasukan khas, dituduh terbabit dalam salah laku, terutama menculik dan menyeksa aktivis pelajar ketika rusuhan 1998 yang menjatuhkan bekas presiden Suharto.

Namun, pasukan kempennya yang menafikan dakwaan itu, menyatakan Prabowo tidak mengarahkan penculikan terbabit sebaliknya bertindak sebagai tentera mematuhi arahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 4:30 AM