QADIS di wilayah barat Badghis. Afghanistan. IMEJ Google Maps
QADIS di wilayah barat Badghis. Afghanistan. IMEJ Google Maps
AFP

Herat: Gempa bumi di barat Afghanistan, semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang, menurut pegawai negara itu.

Mangsa yang maut dipercayai dihempap bumbung rumah yang runtuh di Qadis, daerah di wilayah barat Badghis, kata jurucakap wilayah Baz, Mohammad Sarwary.

Menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu bermagnitud 5.3.

"Lima wanita dan empat kanak-kanak antara 26 mangsa yang terkorban dalam gempa bumi itu," kata Sarwary dengan empat lagi dilaporkan cedera.

Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan di daerah Muqr di wilayah itu, namun maklumat mengenai jumlah mangsa yang terkorban masih belum diperoleh.

Afghanistan kini dalam krisis kemanusiaan, ditambah pula dengan pentadbiran kerajaan diambil alih Taliban Ogos lalu, dan negara Barat pula membekukan bantuan antarabangsa dan akses kepada aset di luar negara.

Pada 2015, kira-kira 280 orang maut selepas gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda kawasan banjaran gunung merentasi Asia Selatan dengan sebahagian kematian di Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 9:32 AM