Kandahar: Sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata menculik 30 lelaki Syiah dari dua bas di selatan Afghanistan.

Pegawai berkata, lelaki Hazara, kumpulan etnik minoriti negara itu, diculik lewat kelmarin di wilayah Zabul ketika berada di jalan raya antara Herat, bandar di barat Afghanistan dan Kabul.

Etnik Hazara yang berfahaman Syiah sering menjadi sasaran serangan pelampau Sunni di Pakistan dan Afghanistan.

“Pemandu kami melihat sekumpulan lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera Afghanistan memberi isyarat supaya berhenti.

“Kerana menyangka mereka tentera, dia menghentikan bas,” kata Nasir Ahmad, pegawai syarikat bas Ghazni Paima.

Menurutnya, mereka menangkap dan membawa pergi 30 lelaki Hazara itu.

“Mereka hanya menahan lelaki dalam dua bas. Wanita dan kanak-kanak dibenar meneruskan perjalanan,” kata Nasir.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Kegiatan menculik di Afghanistan kerana menuntut wang tebusan sering dilakukan penjahat, militia tempatan dan Taliban.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Sediq Sediqqi berkata, polis melakukan apa saja untuk memastikan mangsa dibebaskan dengan selamat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:40 AM