KAJOL.
KAJOL.
Susunan Ardini Sophia Sina

Pada usianya mencecah 40-an, pelakon Kajol Devgan, 41, akui kurang sesuai andai diminta berlakon dalam cerita cinta remaja.

Bagaimanapun, dia tidak mempunyai masalah digandingkan lagi dengan Shah Rukh Khan dalam cerita romantik sebagaimana dalam Dilwale.

Katanya, Dilwale adalah kisah cinta yang sesuai untuk tontonan usia 25 dan ke atas, tetapi Bollywood tidak banyak menghasilkan karya yang memaparkan percintaan untuk golongan dewasa.

“Kebanyakan untuk tontonan remaja dan kami berganding dalam beberapa filem sejak 22 tahun lalu. Saya juga tiada masalah terus berganding dengannya, tetapi satu pengalaman yang menarik jika dapat berlakon dalam filem romantik dengan jalan cerita yang lebih matang.

“Saya inginkan sesuatu yang baru. Saya pernah berlakon dalam kisah cinta ‘happy go lucky’. Pada usia sekarang, saya melalui banyak fasa berbeza. Emosi yang saya salurkan bagi merealisasikan sesebuah watak itu juga sangat berlainan,” katanya.

Dilwale juga membuka laluan baru untuknya kembali aktif di persada seni selepas lama menyepi untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Kajol bakal muncul dalam filem baru, tetapi kali ini berganding dengan suami, Ajay Devgan. Karya itu pula akan diterbitkan syarikat mereka sendiri, Devgan Entertainment and Software Ltd.

Ia kini dalam proses meneliti skrip, tetapi Kajol tidak mendedahkan jalan cerita mahupun barisan pelakon yang bakal membintangi filem itu.

Katanya, penggambaran dijangka bermula Jun tahun ini, tetapi segalanya bergantung kepada persiapan.

“Kalau semua perkara selesai, bolehlah kami mulakan penggambaran. Buat masa ini, skripnya sudah siap, tetapi harus mengkaji semula serta memperbaiki beberapa bahagian.

“Filem bukan hanya dinilai pada lakonan semata-mata, tetapi juga dikuatkan dengan skrip. Bukan mudah menghasilkan karya berkualiti.

“Setakat ini sudah ada perbincangan mengenai pemilihan pelakon serta pengarah, tetapi kami belum bersedia mendedahkan individu berkenaan apatah lagi ia masih dalam peringkat awal,” katanya.

Selepas menjayakan filem My Name Is Khan, Kajol berehat daripada dunia lakonan buat seketika kerana melahirkan anak keduanya pada 2010.

Katanya, dia tidak boleh meninggalkan anaknya yang masih kecil, tetapi kini anak lelakinya, Yug ber­usia lima tahun dan dia berasa tiba masanya untuk kembali berlakon.

“Bagaimanapun, tidak mungkin saya dapat bekerja seperti Shah Rukh Khan kerana saya tidak mempunyai perancangan untuk berlakon dalam tiga filem dalam setahun. Perkara itu hanya Shah Rukh Khan boleh lakukan. Sukar untuk saya bekerja keras seperti dia.

“Dulu saya memilih untuk menjaga anak. Saya bukan orang yang melahirkan anak kemudian meninggalkan mereka semata-mata kerana kerja, tetapi apabila anak saya sudah besar dan pandai menjaga diri, tidak ada masalah untuk tinggalkan Nysa dan Yug sementara saya bekerja,” katanya.

Keputusan meneruskan kariernya disokong anak sulungnya dan ini menyentuh hati Kajol. Pada masa sama, dia ingin menunjukkan etika bekerja kepada dua anaknya.

“Dulu apabila ibu saya pergi bekerja, saya akan tanya kenapa dia tidak boleh duduk di rumah memasak dan menjaga saya, tetapi sekarang saya faham apa yang dimaksudkan ibu apabila dia kata dia harus bekerja.

“Saya harap anak perempuan saya dapat memahami etika kerja yang ingin saya tunjukkan. Saya juga mahu dia bekerja dan mengejar impian. Dia harus berdikari kerana suatu hari nanti dia juga akan menjadi ibu yang membantu menyara keluarga,” katanya.

Gandingan Kajol dan Shah Rukh Khan bermula dengan filem Baazigar, sekali gus menaikkan namanya diikuti Dilwale Dulhania Le Jayenge, Duplicate, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Khushi Kabhie Gham, My Name Is Khan dan Dilwale.

Bagi peminat, mereka adalah pasangan kekasih dalam filem yang berjaya menambat hati penonton.

Kata Kajol, walaupun mereka bekerjasama dalam pelbagai genre filem, sokongan peminat terhadap mereka umpama magis. Dia tidak menyangka selepas berehat beberapa tahun, gandingan mereka masih dinantikan.

“Sokongan peminat terhadap kami memang sesuatu yang mengharukan. Bagaimanapun, kejayaan Dilwale tidak hanya terletak pada bahu pelakon, tetapi kerjasama semua pihak termasuk kru.

“Pujian juga harus diberikan kepada peminat yang terus memberi sokongan dari awal hingga hari ini. Mereka menghargai kehadiran kami dalam industri. Situasi itu membuatkan kami ingin bekerja lebih keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:02 AM