MORANT didapati bersalah bulan lalu kerana menasihatkan dan membantu isterinya Jennifer membunuh diri pada 2014.
MORANT didapati bersalah bulan lalu kerana menasihatkan dan membantu isterinya Jennifer membunuh diri pada 2014.
AFP

SYDNEY: Seorang lelaki dipenjara 10 tahun kerana membantu isterinya membunuh diri supaya dapat mengaut insurans hayat wanita itu dalam kes dianggap pertama seumpamanya.

Graham Morant, 69, didapati bersalah bulan lalu kerana menasihatkan dan membantu isterinya Jennifer membunuh diri pada 2014.

Wanita itu mempunyai sakit belakang kronik serta kemurungan, dan ditemui mati dalam keretanya oleh polis bersertakan nota meminta supaya tidak diberi bantuan pernafasan.

Mahkamah di Queensland diberitahu, Morant membantu isterinya membeli peralatan dari kedai barangan logam untuk membantunya membunuh diri, malah menggalakkan perbuatan itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Peter Davis berkata, Morant benefisiari tunggal insurans hayat isterinya, dengan mendapat A$1.4 juta (RM4.2 juta) selepas kematiannya.

“Kamu mengambil kesempatan terhadap kelemahannya sebagai seseorang yang sakit dan murung.

“Kamu menasihatkan dan membantu isteri membunuh diri semata-mata mahu mengaut A$1.4 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 4:29 PM