KEDIAMAN konsulat jeneral Arab Saudi di Istanbul. FOTO AFP
KEDIAMAN konsulat jeneral Arab Saudi di Istanbul. FOTO AFP
Reuters

ANKARA: Penyiasat Turki dijangka memulakan pemeriksaan telaga di kebun kediaman konsulat jeneral Arab Saudi di Istanbul, hari ini, kata stesen televisyen NTV, selepas pegawai Riyadh enggan memberikan kebenaran, sebelum ini.

Siasatan pembunuhan Jamal Khashoggi, 2 Oktober lalu sudah beberapa kali ditangguhkan pegawai Arab Saudi. mereka dilihat keberatan dalam memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa Turki untuk menyiasat kawasan yang dianggap wilayah Arab Saudi.

Pada mulanya, agensi berita kerajaan Anadolu berkata, pegawai Arab Saudi enggan membenarkan polis menggeledah telaga di kebun kediaman konsulat. NTV kemudian berkata, kebenaran sudah diberikan dan pemeriksaan akan dilakukan, hari ini.

Sejak kehilangan Khashoggi, lebih dua minggu lalu, pihak berkuasa Turki dan Arab Saudi sudah menjalankan beberapa serbuan dan pemeriksaan di konsulat dan kediaman konsulat jeneral di Istanbul.

Wujud pelbagai versi bertentangan mengenai nasib wartawan itu, sejak berminggu-minggu lalu. Akhirnya, Arab Saudi, hujung minggu lalu berkata, Khashoggi terbunuh dalam pergaduhan di konsulat. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkannya sebagai ‘usaha menutup bukti paling teruk’.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau tidak akan membiarkan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Khashoggi melarikan diri dan menggesa Arab Saudi menyiasat pembunuh mangsa daripada ‘atas hingga ke bawah’.

Sehari sebelum pembunuhan Khashoggi, sekumpulan ejen tiba dari luar negara dan mula meninjau beberapa lokasi termasuk Hutan Belgrad dekat Istanbul dan bandar Yalova di selatan, kata Erdogan, Selasa lalu.

Polis sudah memeriksa kedua-dua kawasan untuk bukti mayat Khashoggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 12:35 AM