GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Agensi

KITA biasa dengar orang awam ditipu penjenayah tetapi di Bangkok, Thailand, pegawai kanan polis menipu 196 orang bawahannya dengan menawarkan skim cepat kaya.

Akibatnya, mangsa kerugian 240 juta baht (RM30.24 juta), lapor portal berita Thailand, semalam.

Bekas ketua polis wilayah dan pengerusi koperasi polis itu memujuk 'anak buahnya' untuk meminjam daripada koperasi bagi membayar balik hutang mereka.

Dia kemudian menawarkan untuk mengurus wang pinjaman mereka dan menjanjikan pulangan pelaburan 5,000 baht (RM630) setiap bulan.

Bagaimanapun, selepas mendapat wang daripada peminjam, dia gagal membayar pulangan bulanan itu termasuk hutang asal mereka.

Malah, seorang daripada peminjam diserang sakit jantung dan meninggal dunia 31 Ogos lalu selepas melihat hutangnya meningkat dan pelaburannya tidak menjadi.

Pegawai polis terbabit telah digantung tugas Ogos lalu sehingga selesai siasatan jenayah disiplin dan jenayah.

Dia menjadi antara orang penting dalam satu sindiket untuk melakukan penipuan itu.

Setakat ini, penyiasat telah menemubual 435 orang berhubung perkara itu dan seramai 42 suspek dikenal pasti dengan 31 daripada mereka telah didakwa.

Lima lagi suspek telah menghubungi pihak polis dan menyatakan niat menyerah diri.

Selain itu, daripada keseluruhan wang yang diambil, 10.5 juta baht (RM1.3 juta) dipulangkan, kata polis.

Pihak berkuasa juga merampas beberapa hartanah dan aset lain berhubung siasatan ke atas penipuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 7:29 PM