KEADAAN di tempat kejadian. - YOUTUBE/SCREENGRAB
KEADAAN di tempat kejadian. - YOUTUBE/SCREENGRAB
Agensi

Beijing: Sebelas orang terbunuh, manakala 44 lagi cedera selepas dirempuh kereta di sebuah dataran sebelum pemandunya cuba menyerang orang ramai dengan pisau dan penyodok dalam kejadian di selatan China.

Dalam kejadian lewat kelmarin (waktu tempatan) itu, media melaporkan, suspek dikenali sebagai Yang itu memandu kereta bersendirian sebelum merempuh orang ramai di bandar Mishui, wilayah Hunan.

Suspek dilaporkan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penjualan dadah, mencuri dan menyerang orang awam. Menurut Reuters, kejadian itu dipercayai cubaan suspek untuk membalas dendam terhadap masyarakat.

Rakaman video disiarkan media tempatan menunjukkan mangsa bergelimpangan di tempat kejadian dan cuba dibantu orang awam.

South China Morning Post melaporkan, beberapa saksi memberitahu portal berita Thepaper.cn bahawa mereka melihat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) secara tiba-tiba merempuh orang ramai yang berjalan dan menari di kawasan berkenaan.

Kejadian ngeri itu mencetuskan suasana panik yang sempat dimuat naik ke media sosial oleh beberapa saksi.

Jabatan propaganda Jawatankuasa Parti Komunis Hengdong berkata, bantuan kecemasan dihantar segera untuk membantu mangsa.

Suspek berusia 54 tahun itu berjaya ditahan polis di tempat kejadian.

Pihak berkuasa tidak mengaitkan kejadian itu dengan perbuatan pengganas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:41 AM