Jules terpaksa terima akibat kesilapan doktor. FOTO Daily Record
Jules terpaksa terima akibat kesilapan doktor. FOTO Daily Record
Agensi

Edinburgh: Pesakit ketumbuhan otak di Scotland mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor bedah yang tersilap membuang kelenjar air mata ketika melakukan pembedahan membuang ketumbuhan itu.

Dalam dokumentari BBC, Jules Rose, 50, pelari marathon wanita, mendakwa doktor berkenaan, Muftah Salem Eljamel, 61, masih dibenarkan melakukan pembedahan walaupun berada bawah pengawasan pengurusan hospital berikutan kesilapan itu.

Portal berita Mirror melaporkan, menurut Jules, dia dikesan mengalami ketumbuhan otak ketika melakukan rawatan mata menggunakan laser pada 2013 dan dibedah oleh Eljamel pada Ogos 2013, sebulan selepas doktor berkenaan diletakkan di bawah pengawasan oleh pengurusan hospital NHS Tayside.

Hospital itu memberitahu rancangan terbabit, ‘Harmed By My Surgeon’ ia mengesan kesalahan doktor berkenaan dalam kerjanya pada Jun 2013 dan dengan segera meletakkan Eljamel bawah pengawasan ketika menyiasat kesalahannya.

Menurut Jules, dia pada mulanya amat lega selepas pembedahan kerana diberitahu 99 peratus ketumbuhan berjaya dibuang.

“Saya gembira dan memberitahu doktor itu dia adalah wira. Saya menghantarnya kad ucapan terima kasih. Tiada siapa yang memberitahu doktor berkenaan ketika itu berada bawah pengawasan.

“Selepas pembedahan itu, dia menghubungi saya memberitahu masih ada ketumbuhan tersorok, namun hakikatnya dia cuba menyembunyikan kesilapan memotong tisu yang salah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 9:20 PM