TURNBULL (kiri) tiba bersama  Morrison untuk pengundian penyingkirannya semalam. - EPA
TURNBULL (kiri) tiba bersama Morrison untuk pengundian penyingkirannya semalam. - EPA
AFP

Sydney: Scott Morrison dipilih sebagai Perdana Menteri Australia yang ke-30 semalam, selepas Parti Liberal menyingkirkan Malcolm Turnbull.

Usaha menyingkirkan Turnbull diterajui bekas Menteri Dalam Negeri Peter Dutton dan selepas seminggu krisis politik dalam parti berkenaan, Morrison, sekutu Turnbull yang juga Bendahari Persekutuan, memenangi undian 45-40.

“Tugas kita bukan hanya mengukuhkan kembali parti tetapi juga menyatukan Parlimen agar kita dapat terus bekerja bagi memastikan negara tetap bersatu,” kata Morrisson yang mengangkat sumpah kira-kira 6 petang semalam (waktu tempatan).

Menurutnya, keutamaan sekarang ialah membantu peladang di New South Wales yang bergelut dengan kemarau terburuk dalam sejarah.

Dutton yang dituduh
Turnbull membuli dan mempengaruhi orang lain dalam usaha menyingkirkannya, menyatakan kesetiaan penuh kepada Morrison.

Turnbull terselamat daripada usaha menyingkirkannya Selasa lalu, namun selepas itu menteri Kabinetnya mula berpaling tadah. Beliau akan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen menyebabkan ada pilihan raya kecil untuk kerusi Sydney nanti.

Turnbull menggunakan sidang media terakhirnya semalam, untuk mengecam ‘pengacau’ dalam partinya.

“Ada pemberontakan oleh sejumlah anggota dalam parti yang disokong oleh suara, suara yang berkuasa dalam media (merujuk kepada syarikat media News Corporation milik Rupert Murdoch).

“Ia digambarkan sebagai huru-hara oleh ramai orang dan berlaku kekecohan minggu ini yang dilakukan oleh pengacau,” katanya.

Sebelum ini, Dutton yang mahu mengurangkan jumlah pendatang, adalah satu-satunya calon perdana menteri bagi menggantikan Turnbull hinggalah Morrison memasuki senarai calon Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:00 PM