Ahmad Zahid bersama sebahagian pelajar semasa Makan Malam Bersama Pelajar Malaysia di Sydney.
Ahmad Zahid bersama sebahagian pelajar semasa Makan Malam Bersama Pelajar Malaysia di Sydney.
BERNAMA

Sydney: Malaysia dan Australia lebih komited dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk menangani isu pendatang tanpa izin membabitkan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen kedua-dua negara itu dilaksana menerusi program latihan kawalan sempadan, pertukaran maklumat risikan serta kerjasama lebih erat dalam menangani isu itu.

Beliau menemui pemimpin Australia dalam portfolio berkaitan bagi menjelaskan Malaysia bukan negara transit kepada pendatang tanpa izin yang memasuki negara terbabit.

“Malaysia juga menghadapi masalah berkaitan pendatang tanpa izin. Ketika ini terdapat 56,000 pendatang tanpa izin dari Myanmar (Rohingya),” katanya sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Dalam lawatan kerja itu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, selain bertemu rakan sejawatnya Timbalan Perdana Menteri Australia Barnaby Joyce serta Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia Peter Dutton, Menteri Kehakiman Australia Michael Keenan selain Menteri Luar Julie Bishop.

Lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ke Australia sejak Ahad lalu itu bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia, dengan menumpukan kepada isu pendatang tanpa izin dan usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:12 AM