Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tuduh siaran berita perdana seperti CNN dan MSNBC berat sebelah. FOTO AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tuduh siaran berita perdana seperti CNN dan MSNBC berat sebelah. FOTO AFP
AFP

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menuduh media sosial mengamalkan diskriminasi terhadap pengguna berhaluan kanan dan menyifatkan siaran berita perdana seperti CNN dan MSNBC sebagai ‘gila’.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa media sosial utama termasuk Facebook dan Spotify menghalang atau mengharamkan akaun pakar teori konspirasi berhaluan kanan, Alex Jones.

“Media sosial mendiskriminasi suara Republican dan golongan konservatif.

“Bersuara lantang dan jelas bagi pentadbiran Trump, kami tidak akan membenarkan ia berlaku.

“Mereka menghalang pandangan ramai orang berhaluan kanan, pada masa sama tidak mengambil tindakan ke atas orang lain,” katanya dalam siri tweet.

Beliau menyifatkan penapisan itu ‘perkara amat bahaya’.

“Jika anda menyebarkan berita palsu, tiada lebih palsu daripada CNN dan MSNBC tetapi saya tidak pernah mengarahkan tindak tanduk gila mereka disekat.

“Biarkan semua orang terbabit, baik atau buruk dan kita semua perlu berfikir mengenainya ,” katanya.

Jones, yang menuduh mangsa kes tembakan di sekolah Sandy Hook pada 2012 sebagai berlakon dalam plot untuk mengaibkan pelobi senjata, melanggar dasar ucapan kebencian Facebook, kata rangkaian sosial itu.

Facebook berkata, laman itu ditutup kerana mengagungkan keganasan, yang melanggar dasar keganasan grafik dan menggunakan bahasa kasar untuk menggambarkan golongan transgender, umat Islam dan pendatang, yang melanggar dasar ucapan kebencian. — AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 11:02 AM