TENTERA Korea Utara berjalan melalui monumen tulisan tangan oleh Kim Il-Sung. Foto EPA
TENTERA Korea Utara berjalan melalui monumen tulisan tangan oleh Kim Il-Sung. Foto EPA
AFP

KOREA Utara berhenti memproses visa pelancong untuk rakyat asing menjelang sambutan ulang tahun berprofil tinggi bulan depan, menurut agensi pelancongan beribu pejabat di China.

Langkah itu menyusul laporan Pyongyang menggantung lawatan agensi pelancongan China ketika ia bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), nama rasmi negara itu.

Koryo Tours, agensi popular dalam kalangan pelancong Barat yang mahu melawat Korea Utara, berkata, di laman webnya ia dimaklumkan pada 13 Ogos lalu oleh rakan mereka di Pyongyang bahawa mereka diarahkan semua permohonan visa buat masa ini dibekukan.

Ia tidak memberikan alasan pembekuan, kata syarikat itu, tetapi diberitahu ia berlanjutan sehingga sambutan berkenaan pada 9 September ini.

“Nampaknya pihak berkuasa negara itu menghentikan aktiviti pelancongan sehingga jelas kepada mereka siapa yang akan menyertai delegasi dan bilangannya,” kata syarikat itu.

Pyongyang sebelum ini menyambut tarikh itu dengan perarakan tentera atau perayaan besar-besaran membabitkan ribuan penduduk melakukan akrobatik dan dijangka mengadakan permainan besar-besaran buat kali pertama dalam masa lima tahun.

Presiden Xi Jinping dijangka berada dalam senarai tetamu, apabila pegawai Korea Utara memberitahu wartawan Korea Selatan beliau dijemput ke majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 5:04 PM