Tentera Indonesia memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di lapangan terbang Mataram. Antara/Reuters
Tentera Indonesia memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di lapangan terbang Mataram. Antara/Reuters
AFP

MATARAM: Gegaran susulan kuat melanda Lombok, hari ini menyebabkan penduduk di tempat perlindungan panik dan kejadian berlaku selepas empat hari kawasan itu dilanda gempa bumi dahsyat meragut lebih 160 nyawa di pulau percutian itu.

Gegaran berukuran 5.9 magnitud berlaku di barat laut pulau itu, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat ketika agensi bantuan berusaha mencari mangsa terselamat di bawah sisa runtuhan gempa bumi Ahad lalu.

“Ia begitu kuat dirasakan. Ada 355 gegaran susulan berlaku sejak Ahad lalu,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nughoro.

Penduduk di tempat perlindungan di daerah Tanjung di utara Lombok berlari keluar ke jalan raya sambil menangis dan menjerit, kata wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian.

Motosikal di jalan raya terbalik malah dinding beberapa bangunan berhampiran runtuh.

Seorang wanita menangis sambil mendukung dua anak perempuannya.

“Kami terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas ketika menyampaikan bantuan namuan tiba-tiba merasakan kereta kami dilanggar dari belakang dan ia amat kuat.

“Penduduk di jalan raya panik dan keluar daripada kereta, berlari ke pelbagai arah di tengah kesesakan,” kata saksi, Sri Laksmi.

Gegaran susulan berlaku selepas gempa bumi 6.9 magnitud melanda pulau itu Ahad lalu, memusnahkan seluruh kampung di wilayah utara dan barat Lombok yang paling teruk terjejas.

Keseluruhan, 164 disahkan terbunuh dalam kejadian itu dengan 1,400 cedera serius manakala lebih 150,000 kehilangan tempat tinggal.

Usaha bantuan belum sampai ke beberapa bahagian pulau itu sebelum gegaran susulan itu berlaku hari ini, kata pihak berkuasa Indonesia.

“Gempa bumi itu tidak mencetuskan kemungkinan tsunami,” kata jurucakap agensi kaji cuaca, suhu dan geofizik Indonesia, Hary Tirto Djatmiko.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:36 PM