Guwahati: Pasukan penyelamat semalam berusaha mencari 20 penduduk kampung yang dikhuatiri terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pedalaman timur laut India.

Pegawai tempatan Memi Mary berkata, kejadian berlaku di sebuah kampung di negeri Manpur yang bersempadan dengan Myanmar.

“Setakat ini, 20 orang hilang apabila tanah sebuah bukit runtuh, menimbus penduduk kampung,” katanya kepada wartawan menerusi telefon dari bandar Chandel.

Mary berkata, pasukan penyelamat tiba di kampung di daerah Chandel itu selepas jalan raya yang tersekat menjejaskan usaha untuk tiba di tempat kejadian, 80 kilometer dari Imphal, ibu negeri Manipur.

Di Gujarat, negeri di barat India, angka kematian akibat banjir yang melanda berikutan hujan lebat selama beberapa hari mencecah 53, kebanyakannya mati lemas.

Lebih 10,000 penduduk dipindahkan di seluruh negeri itu sejak minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:51 AM