Padang: Seorang tenaga pengajar Falsafah Umum di Fakulti Agama Islam Universiti Muhammadiyah Sumatera Barat (UMSB) diberhentikan selepas dia mengaku dan memohon maaf kerana memijak kitab suci Al-Quran ketika mengajar.

Timbalan Rektor UMSB Yuzardi Maad berkata, semalam, pensyarah berkenaan yang hanya dinamakan MK mengaku menerusi sepucuk surat mengenai kesalahannya memijak kitab suci itu di depan pelajar.

Dalam surat berkenaan, kata Yuzardi, MK berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya atau perbuatan seumpama itu pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, Yuzardi berkata, pihak UMSB mengambil keputusan memecat MK kerana perbuatan biadapnya.

Dalam kejadian pada 1 April lalu, katanya, MK mendakwa cuba merangsang daya pemikiran pelajar terhadap kitab berkenaan.

“Dia memberitahu pelajar, yang paling penting dalam Al-Quran ialah kandungannya. Sambil memegang kitab suci itu, dia memberitahu pelajar, Al-Quran yang ada pada tangannya tidak ada erti kerana hanya kertas yang ditulis dalam bahasa Arab, Dia lalu memijak kitab itu,” kata Yuzardi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 12:07 PM