ASKAR Afghanistan berkawal di sebatang jalan di Kabul.
ASKAR Afghanistan berkawal di sebatang jalan di Kabul.

Kabul: Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengumumkan gencatan senjata sementara semalam sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, walaupun tidak jelas sama ada kumpulan Taliban bersetuju atau tidak.

Ghani menerusi satu kenyataan di Twitter memberitahu, gencatan senjata berkenaan akan berkuat-kuasa dari 27 Ramadan sehingga hari kelima Aidilfitri.

Hari ke-27 Ramadan jatuh pada Isnin 11 Jun sementara hari kelima Aidilfitri dijangka 15 Jun.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Taliban bersetuju dengan genjatan senjata berkenaan yang menjadi yang pertama pada Aidilfitri sejak Amerika Syarikat menyerang Afghanistan pada 2001.

“Kami akan merujuk kepada pegawai kami mengenai pengumuman gencatan senjata itu,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid kepada AFP.

Keputusan mengejutkan itu dibuat beberapa hari selepas perhimpunan ulama Afghanistan di Kabul mendesak satu gencatan senjata dan mengeluarkan fatwa mengharamkan serangan bom berani mati.

Sejam selepas fatwa itu diumumkan, seorang penyerang berani mati meletupkan diri di luar perhimpunan berkenaan menyebabkan tujuh orang maut.

“Kerajaan bukan sahaja menyokong fatwa yang diumumkan oleh ulama itu malah turut menyokong gencatan senjata yang dicadangkan.

“Kerajaan mengarahkan semua pasukan keselamatan dan bersenjata untuk menghentikan serangan terhadap Taliban tetapi operasi terhadap Daish, al-Qeada dan rangkaian pengganas antarabangsa akan diteruskan,” kata Ashraf. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 6:24 AM