PAKAR biologi marin melakukan bedah siasat pada seekor ikan paus yang mati selepas ditemui sakit di Songkhla, Thailand. - Reuters
PAKAR biologi marin melakukan bedah siasat pada seekor ikan paus yang mati selepas ditemui sakit di Songkhla, Thailand. - Reuters
AFP

Bangkok: Seekor ikan paus mati di selatan Thailand selepas makan lebih 80 beg plastik, kata pihak berkuasa, sekali gus menamatkan usaha menyelamat mamalia itu yang ditemui sakit.

Thailand adalah satu daripada pengguna terbesar beg plastik dunia, yang membunuh ratusan haiwan marin yang tinggal berhampiran pantai popular negara itu setiap tahun.

Paus pandu jantan kecil itu menjadi mangsa terbaru selepas haiwan itu ditemui tenat di sebuah terusan berhampiran sempadan dengan Malaysia, kata Jabatan Sumber Marin dan Laut dalam Facebook mereka semalam.

Pasukan doktor haiwan cuba ‘menstabilkan mamalia itu, namun gagal’ tengah hari kelmarin, kata tulisan berkenaan.

Jabatan itu berkata, bedah siasat pada haiwan itu mendedahkan, 80 beg plastik seberat sehingga lapan kilogram ditemui dalam perut mamalia itu.

Beberapa gambar sebelum ini menunjukkan kumpulan berkenaan menggunakan boya untuk memastikan paus itu timbul selepas kali pertama dilihat Isnin lalu dan payung untuk melindunginya daripada terik matahari.

Jabatan itu berkata, paus terbabit memuntahkan sehingga lima beg plastik ketika cubaan menyelamat sebelum ia mati.

Pakar biologi marin dan pensyarah Universiti Kasetsart, Thon Thamrongnawasawat berkata, beg plastik itu menjadikannya sukar buat mamalia terbabit makan sebarang makanan berkhasiat.

Thon berkata, sekurang-kurangnya 300 haiwan marin termasuk paus pandu, penyu dan ikan lumba-lumba mati setiap tahun di perairan Thailand selepas makan plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 10:53 AM