Tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat menurut WHO.
Tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat menurut WHO.
AFP

PARIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih tujuh juta manusia meninggal dunia setiap tahun, akibat merokok atau menghidu asap rokok.

Malah, tabiat merokok dipercayai menyebabkan satu kematian bagi setiap enam saat.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang disambut esok.

Kanser, serangan jantung, strok dan penyakit paru-paru adalah pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tembakau atau rokok.

Sejak abad ke-20, tembakau sudah meragut 100 juta nyawa, iaitu melebihi 60 juta hingga 80 juta kematian yang dicatatkan ketika Perang Dunia Kedua serta 18 juta mangsa yang maut dalam Perang Dunia Pertama.

“Kadar kematian yang direkodkan sepanjang abad ke-21 akibat pengambilan tembakau sudah meningkat sehingga satu bilion,” kata WHO.

Menurut kajian jurnal saintifik, Tobacco Control yang diterbitkan pada Januari 2017, sebanyak enam peratus daripada kos penjagaan kesihatan dunia dibelanja bagi merawat penyakit akibat merokok atau menyamai dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

“Ia (kos rawatan) membabitkan sejumlah AS$1.436 bilion (RM5.71 bilion) di seluruh dunia, iaitu pada 2012 dan 40 peratus daripadanya ditanggung oleh negara membangun,” katanya.

Selain itu, pakar berkata, setiap minit perokok menghisap hampir 11 juta rokok dan 10 daripadanya mati akibat tabiat berkenaan, ketika industri itu menjana berbilion ringgit, setiap tahun.

Ketika ini, menurut WHO, ada sekitar satu bilion perokok di seluruh dunia, iaitu kira-kira satu pertujuh daripada populasi penduduk dunia.

“China merekod kadar perokok tertinggi, iaitu 315 juta daripada 1.3 juta penduduknya dan mereka menghisap kira-kira satu pertiga daripada jumlah rokok di dunia,” kata laporan yang dikeluarkan oleh WHO pada tahun lalu.

Sementara, Indonesia mencatatkan kadar perokok tertinggi, iaitu 76 peratus bagi golongan lelaki berusia 15 tahun dan ke atas.

Namun, amat membimbangkan apabila kira-kira 80 peratus daripada perokok adalah daripada mereka yang tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana, malah 226 juta daripada mereka dianggap miskin.

Bagaimanapun, menurut jurnal perubatan The Lancet yang diterbitkan pada April 2017, peratusan individu menggunakan tembakau setiap hari menurun dalam tempoh 25 tahun.

Katanya, satu daripada empat lelaki dan satu daripada 20 wanita merokok setiap hari pada 2015, berbanding satu daripada tiga lelaki serta satu daripada 12 wanita pada 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 2:18 PM