AHLI keluarga berkumpul di Lapangan Terbang Supadio, Kalimantan Barat. FOTO AFP
AHLI keluarga berkumpul di Lapangan Terbang Supadio, Kalimantan Barat. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Puluhan keluarga penumpang nahas pesawat Sriwijaya Air SJY182, berkumpul di Lapangan Terbang Supadio di Wilayah Kubu Raya, Kalimantan Barat, sejak malam tadi.

Seorang daripada keluarga mangsa Yaman Z Zai berkata, dia menunggu perkembangan lanjut mengenai isteri dan tiga anaknya.

Dia yang menetap di Pontianak itu ternyata gagal mengawal kesedihan ketika bercerita lanjut kepada wartawan di Pontianak, lapor BBC News Indonesia.

"Ada empat ahli keluarga saya di dalam pesawat itu iaitu isteri dan tiga anak," katanya ketika ditemui pemberita.

Dia memaklumkan baru setahun bekerja di Pontianak dan berhajat untuk membawa isteri dan anaknya bercuti.

Selain itu, ahli keluarga penumpang juga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, di sini, untuk mengetahui maklumat terkini nahas.

Pesawat malang itu dalam penerbangan dari Jakarta menuju Pontianak sebelum dilaporkan putus hubungan di Kepulauan Seribu di Laut Jawa.

Kerajaan Indonesia mengarahkan 10 kapal Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) ke titik koordinasi terakhir pesawat itu untuk operasi pencarian.

Pesawat berkenaan dalam keadaan 'layak terbang' mula beroperasi dengan Sriwijaya Air pada 1994.

Pengarah Sriwijaya Air, Jefferson Irwin Jauwena mengesahkan pesawat syarikat berkenaan dalam keadaan baik sebelum dibenarkan terbang.

"Keadaan pesawat baik untuk penerbangan ulang alik ke Pontianak dan seharusnya tiada masalah dan lancar.

"Kelewatan berlepas selama 30 minit bukan disebabkan masalah pesawat namun kerana cuaca hujan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta.

Berita berkaitan

Pesawat Sriwijaya Air terhempas?

[TERKINI] Pesawat terhempas di Kepulauan Seribu

[TERKINI] Operasi kesan titik pesawat terhempas

[TERKINI] Cebisan daging manusia, serpihan pesawat ditemukan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 10:10 AM