KUDA  Windsor Greys menjadi pilihan  Putera Harry, Meghan  untuk berarak. FOTO/AFP
KUDA Windsor Greys menjadi pilihan Putera Harry, Meghan untuk berarak. FOTO/AFP
AFP

LONDON : Putera Harry dan Meghan Markle akan menaiki kereta kuda tidak berbumbung untuk berarak melalui semua jalan di Windsor selepas majlis perkahwinan mereka akhir bulan ini, Istana Kensington mengumumkan hari ini.

Menurut kenyataan dari kediaman rasmi pasangan Diraja itu, mereka memilih kereta kuda Ascot Landau untuk perarakan di bandar itu pada 19 Mei nanti.

“Putera Harry dan Cik Markle sangat teruja untuk melakukan perarakan ini dan berharap ia mampu melahirkan rasa penghargaan mereka terhadap semua tetamu yang berhimpun di Windsor untuk meraikan hari istimewa pasangan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Pedati terbabit akan ditarik empat ekor kuda Windsor Grey - Milford Haven, Storm, Plymouth dan Tyrone serta diiringi anggota dari Rejimen Household Cavalry sejurus meninggalkan Gereja St George sebelum mengelilingi bandar terbabit.

Kereta kuda berkenaan adalah satu daripada lima koleksi Ascot Landau milik istana yang digunakan Ratu Elizabeth II bagi menghadiri perlumbaan kuda di Royal Ascot.

Dua daripadanya turut digunakan pada majlis perkahwinan Putera William dan Catherine Middleton pada 2011 bagi membawa pengapit Putera William iaitu Putera Harry. pengapit perempuan, barisan pengiring pengantin perempuan dan barisan pengiring pengantin lelaki dari Westminster Abbey ke Istana Buckingham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 9:11 PM