RAKYAT Sepanyol merusuh ke arah polis.
RAKYAT Sepanyol merusuh ke arah polis.
AFP

MADRID: Beribu-ribu rakyat Sepanyol membanjiri jalan di Pamplona membantah pembebasan lima lelaki yang dituduh merogol seorang remaja 18 tahun beramai-ramai ketika pesta lumba lembu.

Penunjuk perasaan memenuhi jalan di seluruh negara sejak mahkamah menetapkan keputusan Khamis lalu, memaksa kerajaan mempertimbang meminda undang-undang rogol.

Semua lelaki terbabit bebas daripada tuduhan serangan seksual termasuk merogol dan hanya dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun untuk kesalahan lebih ringan.

Menurut polis, di Pamplona antara 32,000 dan 35,000 orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan semalam, berarak dengan melaungkan slogan “bukan penderaan seksual tetapi rogol”.

Jurucakap polis berkata, tunjuk perasaan itu diadakan tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku dan ia memasuki hari ketiga.

Semua lelaki terbabit berusia antara 27 hingga 29 tahun dituduh merogol seorang remaja perempuan di pintu masuk bangunan pangsapuri di Pamplona pada 7 Julai 2016, pada permulaan sambutan perayaan San Fermin yang berlangsung selama seminggu.

Semua tertuduh yang berasal dari selatan Seville, merakam perlakuan mereka dengan telefon pintar dan menyebarkannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 3:25 AM