Chua Kim Yap (kiri) yang didakwa di Mahkamah Jenayah Khas di Putrajaya kerana melakukan  berkelakuan tidak senonoh terhadap remaja lelaki 17 tahun dan Mohd Haziq Hussain (kanan) kerana merogol remaja 13 tahun. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Chua Kim Yap (kiri) yang didakwa di Mahkamah Jenayah Khas di Putrajaya kerana melakukan berkelakuan tidak senonoh terhadap remaja lelaki 17 tahun dan Mohd Haziq Hussain (kanan) kerana merogol remaja 13 tahun. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

MAHKAMAH Jenayah Khas di Putrajaya yang mengendalikan kes membabitkan mangsa seksual kanak-kanak bersidang buat pertama kali hari ini, dengan mendengar lima kes.

Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali mendengar kes-kes itu itu termasuk pertuduhan baru kes pencabulan kehormatan, perbicaraan kes rogol dan sebutan tiga kes rogol.

Mahkamah Khas itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Jun lalu.

Hakim memulakan prosiding pada 9 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam untuk menyelesaikan pendengaran sebutan kes dan pertuduhan baru.

Beliau kemudian mendengar perbicaraan kes rogol secara tertutup membabitkan Mohd Haziq Hussain, seorang pekerja gerai makanan berumur 29 tahun yang dituduh merogol gadis berusia 13 tahun di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur pada 15 Februari 2015.

Dua saksi memberi keterangan dalam perbicaraan hari ini, sebelum mahkamah menetapkan perbicaraan disambung tiga hari mulai 7 Ogos.

Sebelum itu, seorang jurujual berumur 43 tahun didakwa di mahkamah yang sama kerana berkelakuan tidak senonoh dengan mencium dan menggigit bahagian dada remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, pada 27 Jun lalu.

Chua Kim Yap mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 8 Ogos untuk sebutan kesnya.

Yong membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak dibebaskan dengan jaminan.

Timbalan Pendakwaraya Aimi memberitahu mahkamah, Chua mempunyai beberapa sabitan sebelum ini termasuk mencabul, menipu dan mencuri.

Hakim juga mendengar tiga lagi kes membabitkan Lai Jun Kia, Muhammad Rafaie Padzil dan Mohd Khalifah Hussin. Beliau menetapkan 20 Julai untuk tarikh sebutan semula kes Lai dan Muhammad Rafaie dan menetapkan 8 Ogos untuk kes Mohd Khalifah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 8:52 PM